Blogger Widgets

Selasa, 4 September 2012

KISAH-KISAH TELADAN

LELAKI PANJANG UMUR PADA ZAMAN NABI SULAIMAN

Pada zaman Nabi Sulaiman, ada seorang lelaki yang tinggal di dalam kubah yang mempunyai empat pintu di dasar laut. Lelaki itu tinggal di dalam kubah itu selama kira-kira 1500 tahun. Dia mendapat makanan dan minuman yang enak daripada Allah yang menghantarnya melalui seekor burung. Sepanjang masa lelaki itu hanya beribadah di dalam kubahnya. Dia melakukan yang demikian kerana mahu berbakti kepada kedua-dua orang tuanya walaupun mereka sudah meninggal dunia.

Ikutilah kisah lelaki ini …

Allah mewahyukan kepada Nabi Sulaiman, ‘Keluarlah ke tepi laut. Disana kau akan melihat sesuatu yang ajaib dan luar biasa’. Nabi Sulaiman pun keluar dari istananya diiringi oleh rombongan jin dan manusia. Apabila sampai ke tempat yang dimaksudkan oleh Allah itu, Nabi Sulaiman memerhati keadaan sekelilingnya dan beliau tidak melihat apa-apa yang luar biasa. Beliau memerintahkan jin menyelam ke dasar lautan dan membawa apa-apa yang ajaib dari sana. Beberapa saat kemudian jin itu naik semula dan berkata, ‘Aku menyelam jauh ke dasar lautan tetapi aku tidak melihat apa-apa yang ajaib’.

Nabi Sulaiman tidak berputus asa dan memerintahkan jin lain pula menyelam namun masih tidak menemui apa-apa pun yang ajaib. Akhirnya Nabi Sulaiman mendapatkan Aashif bin Barkhiya, seorang yang mendapat ilmu terus daripada Allah. Baginda berkata, ‘Wahai Aasif bin Barkhiya, bawakan sesuatu yang ajaib yang ada dalam lautan ini’. Aasif terus berdoa dan memohon Allah menunjukkan keajaiban itu. Tiba-tiba memancar cahaya dari dasar lautan itu dan kemudian muncul sebuah kubah yang dibina daripada mutiara putih. Ia mempunyai empat pintu yang setiap satunya diperbuat daripada intan permata, batu yakut, mutiara dan batu berwarna hijau.

Nabi Sulaiman kagum melihat kubah itu lalu beliau berdoa kepada Allah untuk membuka pintu kubah itu. Dengan izin Allah, semua pintu kubah itu terbuka tetapi tidak setitis air pun yang memasuki kubah itu. Di tengah-tengah kubah itu kelihatan seorang pemuda berpakaian bersih dan berwajah tampan sedang solat.

Apabila selesai pemuda itu bersolat, Nabi Ibrahim pun masuk ke dalam kubah itu lalu memberi salam kepadanya. Nabi Sulaiman bertanya, ‘Siapakah kamu? Malaikat, jin atau manusia?’

Pemuda itu menjawab, ‘Aku manusia’.

‘Mengapa kamu tinggal dalam kubah yang berada di dasar lautan ini?’ Tanya Nabi Sulaiman lagi.

Pemuda itu berkata, ‘Wahai nabi Allah, ayahku dulu seorang yang lumpuh dan ibuku pula buta. Tidak ada yang menjaga dan melayani mereka selain aku. Aku menjaga mereka selama tujuh tahun. Sewaktu ibuku hampir meninggal dunia, dia berdoa kepada Allah, ‘Ya Allah, panjangkanlah umur anakku, limpahkan sifat qanaah kepadanya dan jadikan dia anak yang taat kepadMu. Tempatkanlah anakku di suatu tempat di mana syaitan tidak dapat mengganggunya’.

‘Sejak kematian ibu bapaku, aku meninggalkan rumah dan datang ke tepi laut ini. Tiba-tiba aku melihat kubah ini dan aku masuk ke dalamnya. Sebaik sahaja aku memasuki kubah ini, malaikat membawanya ke dasar lautan’.

Nabi Sulaiman bertanya lagi, ‘Waktu itu kamu berada pada zaman mana?’

Dia menjawab, ‘Zaman Nabi Ibrahim’.

Dengan demikian umur pemuda itu telah mencapai kira-kira 1500 tahun, tetapi wajahnya tetap muda dan tidak ada sehelai uban pun di atas kepalanya.
‘Bagaimana kamu makan dan minum?’, tanya Nabi Sulaiman.

Pemuda itu menjawab, ‘Setiap hari ada burung yang datang membawakan makanan kepadaku. Apabila aku memakannya, aku merasakan makanan yang ada di seluruh dunia. Aku kenyang dan puas, hilang rasa laparku dan hausku. Hilang juga rasa panas, sejuk, mengantuk, jemu dan malas’.

Nabi Sulaiman bertanya lagi, ‘Adakah kamu suka tinggal di sini ataupun kamu mahu mengikutku balik ke atas daratan?’

‘Kembalikan saja aku ke dasar laut wahai nabi’, jawabnya

Dengan itu Nabi Sulaiman pun bersalaman dengan pemuda itu dan mengucapkan selamat tinggal kepadanya. Kemudian Nabi Sulaiman meminta Aashif mengembalikan kubah itu ke dasar laut.

Lihatlah bagaimana Allah menerima doa seorang ibu yang begitu luar biasa. Oleh itu, kita perlu berhati-hati dan jangan sekali-kali menderhaka kepada ibu-bapa kita.


Petikan daribada buku Dahsyatnya Doa Ibu, oleh Syamsuddin Noor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan