Blogger Widgets

Khamis, 30 Ogos 2012

patriotik


Harapan Anak Malaysia

SEORANG negarawan dalam pidatonya pernah menyebut, “Negara ini tertegak atas sumpah keramat.  Lantainya disimbah air mata, dindingnya tertegak atas tulang-temulang, atapnya disulam dengan peluh dan keringat.  “Daulat bumi watan ini pernah dicemari buat berkurun-kurun lamanya dek kehadiran kolonialis rakus yang mengaut kekayaan hasil Negara.  Rembesan air mata suci serta titisan darah perajurit silih berganti menggalurkan jalan menuju pembinaan sebuah negara merdeka.  Mujurlah kemerdekaan ini kita peroleh jua akhirnya di hujung mata pena.  Sewajarnya, anak muda selaku pewaris tampuk kepimpinan Negara perlu menanam tekad yang teguh untuk meneruskan kesinambungan kegemilangan yang ada.
Simfoni keharmonian yang dimainkan secara bersama-sama oleh masyarakat majmuk yang berbilang bangsa di Malaysiaa pastinya akan terasa begitu lunak didengari andai kata perpaduan yang menjadi resepi kejayaan kita selama ini dapat dicapai secara mutlak.  Setiap warganegara harus memainkan peranan yang penting dalam mengawal sentimen perkauman dengan cara menghormati adat resam kaum lain serta bertoleransi apabila berdiskusi tentang urusan yang melibatkan hubungan kaum.  Fokuslah titik persamaan yang wujud pada pendirian dan tidak bersandar pada perbezaan buah fikiran semata-mata.  Biarkanlah api perkauman yang pernah marak pada 13 Mei 1969 itu padam buat selama-lamanya.
Perjuangan para negarawan untuk mendapatkan kemerdekaan pasti tidak akan bermakna seandainya anak muda hari ini terus-menerus asyik membiarkan minda mereka dipasung untuk menyembah berhala hedonisme.  Kemerdekaan yang dikecapi hanyalah pada luaran semata-mata, sedangkan penjajahan minda masih  giat berlaku.  Kesannnya generasi muda akan mengalami kecelaruan indentiti, tidak bersikap patriotik serta tidak berjiwa merdeka.  Barangkali kita harus merenung kembali hakikat bahawa salah satu faktor kejatuhan kegemilangan Melaka berpunca daripada kehadiran Si Kitol yang tidak patriotik apabila belot dan memecahbelahkan masyarakat.  Impian Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju mengikut acuannya yang tersendiri pasti akan terlaksana seandainya setiap daripada kita sedar akan tanggungjawab berat yang tergalas untuk mewariskan kemerdekaan ini kepada generasi yang seterusnya.

Salam Merdeka buat semua....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan